Konsep Keusahawanan Alkitabiah

Ulangan 8:18 ” Sebaliknya, ingatlah Tuhan, Allahmu, kerana Dialah yang memberikan kepadamu kekuatan untuk memperoleh kekayaan itu, demi meneguhkan perjanjian yang telah Dia sumpah kepada nenek moyangmu, seperti pada hari ini.”

Anda mungkin pernah mendengar mengenai konsep keusahawanan,betul tak? Tapi bagaimana pula dengan konsep Keusahawanan Alkitabiah? Adakah tak cukup sekadar belajar mengenai keusahawanan? Apa juga kaitan Alkitab dengan Keusahawanan?

Saya sangat rindu agar jemaat Tuhan juga banyak yang terlibat dalam keusahawanan dan melakukannya seturut dengan Firman Tuhan. Sebenarnya banyak prinsip-prinsip Alkitab yang sangat penting yang jika diikuti oleh usahawan akan membuka pintu berkat yang besar bukan sahaja bagi diri sendiri malah untuk keluarga, gereja dan komuniti.

Apakah definisi keusahawanan?

Bagi kebanyakan orang, ianya adalah suatu perniagaan yang dilakukan oleh seseorang atau urusan jual beli yang menghasilkan duit. Namun, ini tidak sepenuhnya benar kerana keusahawanan bukanlah sekadar urusan jual beli kerana ia sebenarnya mempengaruhi segala yang kita lakukan.

Golongan usahawan inilah yang sebenarnya banyak mempengaruhi masyarakat lebih dari golongan yang lain dalam dunia ini.

Bayangkan, golongan usahawan ini boleh mempengaruhi makanan anda, pakaian anda, jenis musik yang anda dengar, tempat tinggal anda, jenis pengangkutan yang anda gunakan, dan banyak lagi.

Golongan usahawan ini merupakan kumpulan individu yang menyahut cabaran untuk menghasilkan dan mengagihkan barang-barang dan perkhidmatan yang kita perlukan sehari-hari. Secara amnya, mereka ini adalah merupakan pemegang amanah ke atas sumber-sumber yang diberikan oleh Tuhan.

Duit dan Keusahawanan

Oleh kerana potensi menjana duit yang besar dan boleh dihasilkan dengan barang-barang dan perkhidmatan yang disediakan, kebanyakan usahawan lebih fokus dan sibuk dengan duit berbanding dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

Memandangkan usahawan ini bekerja sendiri dan mereka kebanyakannya mengaji pekerja, mereka kebiasaannya menuntut penghormatan dan pengaruh yang tinggi daripada masyarakat.

Mazmur 24:1 “Bumi ini milik Tuhan dengan segala yang di dalamnya,dunia dan semua penghuninya;”

Ini bermaksud bagi para usahawan bahawa sumber yang mereka gunakan untuk memulakan sesuatu perniagaan, malah pelanggan mereka itu sendiri adalah milik Tuhan. Namun fakta ini diabaikan apabila usahawan-usahawan ini mengambil kesempatan terhadap sumber-sumber ini untuk kepentingan mereka sendiri, dan tidak memberikan pengiktirafan kepada Tuhan, dan lebih mementingkan keuntungan daripada melayani orang lain.

Mereka tidak pernah belajar bahawa sebenarnya keusahawanan itu boleh dijadikan alat untuk melayani umat Tuhan dan mengembangkan kerajaan Allah di bumi. Oleh sebab inilah, keusahawan alkitabiah diperlukan.

Sebagai usahawan, kita perlu belajar dari Firman Tuhan sebagai panduan kita untuk menjalankan amanah ke atas sumber-sumber yang telah Tuhan percayakan kepada kita dan untuk melayani orang lain sambil memimpin mereka untuk mengenal Tuhan Yesus.

Leave a Reply

%d bloggers like this: